Disunting dari Sinar Harian
Ira adalah teman sebilik anak perempuan saya di hostel. Sebagai seorang siswi yang tinggal jauh daripada ibu dan bapanya, Ira kerap berkunjung ke rumah saya pada hujung minggu. Itupun sekiranya dia tidak keluar berdating dengan teman lelakinya. Oleh kerana dia kerap datang ke rumah, selalu juga saya bersembang dengannya.
Pada suatu hari, Ira tampak muram. Lama sangat murungnya. Saya mengagak remaja sepertinya tidak mungkin bermuram begitu lama jika tidak kerana bermasalah dengan teman lelakinya. Oleh kerana risau dengan kerisauannya, saya mula menyelidik. Benar. Soalan saya dijawab dengan anggukan yang lemah, tanda dia tidak berdaya berdepan dengan problemnya.
Mengikutnya, semakin sehari, teman lelakinya kian bergantung kepadanya. Mula-mula sekadar meminjamkan buku-buku rujukan, kemudian teman lelakinya meminta pula nota-nota kuliah untuk disalin apabila dia ponteng. Sebagai teman, Ira ingin sekali membantu orang yang disayangi.
Namun, semakin sehari, teman lelakinya semakin menyalahgunakan kebaikan gadis itu. Bermula dengan belanja makan, si teman lelaki sudah mula meminta Ira membuat top-up telefon bimbitnya, meminjamkan wang, membelikan pakaian dan akhirnya membasuhkan juga pakaiannya. Saya nasihatkan Ira agar berfikir panjang mengenai masa depannya sebagai siswi. Sebagai orang yang belum bergaji, dia perlukan setiap sen wang PTPTNnya untuk menampung kos pengajiannya. Dia tidak boleh menanggung orang lain, apatah lagi seorang teman lelaki. Ya. Seorang lelaki.
Apa yang dihadapi oleh Ira menjadikan saya kian bimbang dan rimas. Ini adalah kerana, semakin sehari, saya makin kerap terdengar cerita lelaki-lelaki yang bukannya anak jantan. Mereka tidak berkeupayaan untuk berfikir dan memajukan diri. Berwawasan jauh sekali.
Sebilangan kecil je… tapi awas.

